Web 2.0 merupakan satu platfom di mana seseorang dapat berkomunikasi dengan berkesan , pantas dan mudah . Masyarakat bukan sahaja dapat melayari web malah dapat mempamerkan, memperluaskan dan berkongsi kreativiti mereka dengan sesiapa sahaja tanpa batasan masa, ruang dan lokasi . Masyarakat dapat berhubung tanpa sempadan .
Menurut Tim Berners Lee iaitu seorang pencipta web, web 2.0 merupakan pengganti atau satu inovasi kepada web 1.0. Hal ini adalah kerana ia merupakan satu jaringan piawaian yang dihasilkan daripada web 1.0. Perbezaan antara web 1.0 dan web 2.0 adalah dari segi kepenggunaan, fungsi dan pemilikan pengguna. Hal ini bermaksud web 2.0 merupakan satu ruang yang interaktif, dinamik dan fleksibel di mana pengguna boleh menyesuaikan kehendak dan idea mereka seiring dengan fungsi yang terdapat dalam web 2.0. Hal ini secara langsung menjadikan pengguna bukan sahaja sebagai pengunjung malah turut menjadi pemilik kepada web 2.0 tersebut. Di samping itu, web 2.0 juga bersifat mesra pengguna kerana ia memudahkan sesiapa sahaja menggunakannya ekoran ia mengandungi ciri-ciri ’apa yang anda lihat adalah apa yang anda dapat’ (WYSIWYG – What You See Is What You Get) .
Umumnya web 2.0 mempunyai beberapa ciri termasuk penyertaan pengguna, keterbukaan, kawalan pengguna dan identiti. Lazimnya semua aspek web 2.0 adalah didorong oleh penyertaan pengguna. Hal ini adalah ekoran daripada peralihan atau transisi yang terdapat dalam web 2.0 itu sendiri. Di antaranya ialah blog, jaringan sosial, imej yang percuma dan memuat naik video.